UDANG GALAH

Udang galah Macrobrachium resenbergii merupakan antara hidupan ternakan air tawar paling popular di Malaysia sejak akhir-akhir ini. Harga pasarannya telah melonjak dari sekitar RM15/kg pada akhir tahun 80'an kepada sekitar RM25/kg sekarang (2000). Sebelum ekonomi meleset (1997), harga telah meningkat sekitar RM40 bagi setiap kg udang hidup. Permintaan untuk udang galah memang sentiasa tinggi. Ini dijangka oleh peningkatan taraf hidup dan penambahan pendapatan penduduk Malaysia, seterusnya meningkatkan daya beli disamping masing-masing mempunyai peruntukan yang lebih untuk program rekreasi (memancing di kolam berbayar). Peningkatan harga dan permintaan ini seterusnya merangsang ramai penternak ikan menukar kepada ternakan udang galah. Banyak kolam terbiar telah diaktifkan semula dan banyak sawah tinggal mula digali untuk kolam udang galah. Terdapat juga program pembangunan pertanian kawasan yang telah menjadikan udang galah sebagai spesies tumpuan untuk dimajukan, malah ada daerah yang telah memilih spesies ini sebagai maskot atau produk utama pengeluaran di daerah masing-masing. Sebuah ladang akuakultur yang terbesar di pantai timur juga telah menceburi bidang penternakan udang galah untuk pasaran tempatan dan eksport. Udang galah juga telah menjadi sebahagian menu biasa restoran makanan laut di beberapa negara Asia termasuk juga Malaysia.
Potensi pelaburan dalam industri udang galah adalah cerah. Dengan harga pasaran dan permintaan yang tinggi tersebut, ia mampu memberi pulangan lumayan dalam jangkamasa singkat. Keluasan kolam 0.2 ha (0.5 ekar) mampu menghasilkan udang sekitar 300kg bagi satu pusingan, malah ada penternak yang berupaya menghasilkan udang sehingga 700kg bagi satu musim (Mun, K.H., 1996) dengan teknik pengurusan yang lebih baik.
Walaupun perkembangan industri udang galah sangat pesat di Malaysia sekarang ini, ia sebenarnya masih kecil jika dibanding dengan jumlah pengeluaran dunia. Malaysia masih tertinggal jauh berbanding Vietnam, Taiwan dan Thailand yang menjadi pengeluar utama udang galah dunia. Sumbangan industri udang galah kepada akuakultur Malaysia juga adalah rendah. Misalnya dalam tahun 1995 industri ini hanya menyumbang sekitar 0.06% sahaja dari nilai pengeluaran akuakultur.
Malaysia sememangnya berpotensi untuk maju dalam industri ini. Kepakaran dalam teknologi pembenihan dan ternakan telah lama terdapat di sini. malefemale1.jpg (39951 bytes)Malah sebenarnya kajian terawal di dunia ke atas spesies udang galah ini telah bermula di sini sejak akhir tahun 50'an lagi (Ling, S.W., 1969). Malaysia juga mempunyai iklim tropika yang sesuai untuk tumbesaran udang galah. Kita mempunyai banyak sumber air tawar yang belum tercemar (di Pahang, N. Sembilan, Perak, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak) yang sangat ideal bagi ternakan udang galah ini. Asset yang bernilai ini perlu dimajukan untuk kesejahteraan rakyat Malaysia disamping dapat menghasilkan sendiri lebih bahan makanan bagi mengurangkan import bahan-bahan makanan yang bernilai berjuta ringgit tersebut. Memang menjadi hasrat utama Jabatan Perikanan Malaysia untuk menghasilkan lebih bahan makanan untuk penduduk tempatan seperti yang terkandung dalam rancangan Dasar Pertanian Negara III (DPN 3).
Selain untuk pasaran segar tempatan (hidup, mati), udang galah juga mampu untuk dieksport. Potensi industri hiliran seperti pembungkusan dan pemprosesan memang ujud. Sehingga kini eksport udang galah Malaysia hanya kepada Singapura dalam bentuk segar (mati, hidup) dan sedikit ke Jepun. Masalah utama mengapa industri hiliran udang galah tidak berkembang di Malaysia adalah kerana kurangnya kepercayaan oleh syarikat-syarikat besar akan potensi industri ini. Memanglah industri berkaitan pertanian mempunyai resiko yang tinggi tetapi sekiranya ia dilakukan dengan teratur dan penuh kepakaran maka masalah kerugian dapat dikurangkan. Penceburan diri dalam bidang pembenihan, ternakan dan pemerosesan udang galah ini memang memerlukan pelaburan besar yang tidak mampu ditanggung oleh penternak sambilan atau pengusha kecil. Pihak swasta besar bolehlah membina kilang pemerosesan disamping operasi pembenihan dan ternakan manakala pihak penternak kecilan dan sederhana dapat membantu dalam penghasilan benih dan udang dewasa secara berterusan untuk diproses oleh kilang tersebut.
Kerajaan melalui institusi kewangan (bank) telah menyediakan skim bantuan kewangan, malahan melalui MIDA juga galakan dan insentif telah diujudkan bagi maksud menggalah perkembangan industri berasaskan eksport.
---------------------------------------------------
Copyright � 2003 Freshwater Fisheries Research Centre.
All Rights Reserved.



MEMANCING UDANG GALAH
PerkaraUtama berbincanglah dengan rakan, tarikh, masa dan lubuk yang akan dituju untuk aktiviti memancing udang.(menaiki bot). Persiapan awal antaranya engin sangkut 4 – 15 kuasa kuda, pendayung, sauh, tali, membuat perambut awal, peralatan memancing yang dikira lengkap, tidak lupa jaket keselamatan dan jika ingin memancing malam jangan lupa lampu suluh dan '‘lampu kalimantan'’atau '‘lampu ayam'’ Umpan perlu dicari terutama cacing tanah atau anak udang(yang dibungkus dalam suratkabar dan disimpan didalam peti sejuk,bagi mempastikan kesegarannya).
Peralatan
  1. Joran dan Kekili untuk memancing udang biarlah jenis ringan. Joran halus sebaiknya dalam 4 1/2 kaki panjang dan Kekili tidaklah perlu besar.
  2. Tali Utama seeloknya antara 10 - 15 paun manakala perambut pula antara 6 – 8 paun.
  3. Saiz batu ladung kebiasaannya antara no: 5 – 6. Saiz batu ladung yang kecil boleh digunakan ketika arus sungai bergerak perlahan.
  4. Beberapa jenama mata kail kecil boleh digunakan tetapi biasanya ialah antara no: 7 – 10 menjadi pilihan utama. Adakalanya pemancing suka menggunakan mata kail buatan sendiri.
Umpan (Rujuk Menu Utama Kelab ATUR – Bah. Umpan)
Udang sebenarnya tidak memilih makanan/umpan, tetapi pemancing mesti juga memikirkan ketahanan umpan dimata kail, antaranya cacing, perumpun, udang kecil, isi ikan. Namun pilihan utama tetap cacing tanah kerana berkaitan rapat dengan bentuk badannya dimata kail dan kesesuaian satu-satu lubuk udang tersebut.
Cara Memancing (dari atas sampan)
  1. Untuk memancing diatas sampan, paling sesuai dan selesa ialah 2 orang untuk sebuah sampan sepanjang 12 – 16 kaki.
  2. Lima batang joran seorang adalah bertepatan dan jika ada yang baru belajar mereka bolehlah bermula dengan 2 –3 batang dulu. Tidak menghairankan ada yang menggunakan lebih dari itu jika ia mampu mengawal kesemuanya.
  3. Susunan joran diatas sampan semasa memancing juga penting mengikut aturan yang betul seperti joran 1 dilontar jauh, diikuti joran 2 dekat sedikit dan begitulah seterusnya hingga joran terakhir dihulur saja bawah sampan. Ini semua dapat mengelakkan dari berbelit sesama sendiri.
  4. Melontar umpan sehingga umpan/batu ladung menjejaki dasar sungai, kemudian mengarau tali ibu dikekili sehingga tegang. Seterusnya diletakkan joran ditepi sampan tanpa dipegang dengan tangan dan tunggu.
  5. Jika sudah pasti udang telah menelan umpan(dgn. Melihat henjutan dihujung joran) lakukan sentapan yang lembut atau terus mengarau tali. Disinilah debaran dada si pemancing udang dapat dirasai dengan henjutan udang samada berjaya atau sebaliknya untuk didaratkan.
Makluman
  1. Isyarat udang memakan umpan adalah tidak sama mengikut keadaan.
  2. Kadang kala udang memakan umpan tanpa menunjukkan sebarang gerakan.
  3. Ada pula yang menyambar dengan kasar seperti ikan.
  4. Ada yang menarik umpan dengan keadaan separuh malu.
  5. Sambaran yang kecil dan perlahan tidak semestinya udang kecil dan sambaran yang kasar dan kuat tidak semestinya udang besar. (jangan terkejut) jawapan akan diketahui diseparuh perjalanan udang semasa hendak dinaikkan.
Mencari Lubuk
  1. Perhatikan kawasan yang mempunyai banyak makanan (buangan) serta kawasan yang senang udang bersembunyi.
  2. Kawasan berteluk berarus sederhana laju.
  3. Kawasan yang mudah tersangkut yang terdapat banyak ranting-ranting pokok serta akar-akar pokok didalam air.
  4. Memandangkan jadual air berubah setiap hari, kedudukan udang juga begitu, adakalanya udang galah suka bermain ditengah sungai terutama bila air bergerak sederhana laju.
Panduan
  1. Ketika memancing udang, sikap malas jangan diamalkan. Umpan perlu selalu diperiksa dimata kail. Caranya selepas 5 minit umpan dilabuhkan dan tidak ada sebarang isyarat, perlulah mengangkat joran untuk mempastikan sama ada ia tersangkut atau pun sudah memperolehi udang.
  2. Jika selepas 15 minit masih tiada isyarat udang, ini bermakna kawasan tersebut tidak sesuai untuk pancingan udang dan perlu beredar ke tempat lain.
  3. Musim tengkujuh adalah musim yang tidak sesuai memancing udang kerana paras air yang terlalu tinggi, aliran air yang deras serta cuaca/air yang sejuk.
  4. Masa paling sesuai ialah ketika musim panas 4 –5 hari tanpa hujan, air sungai menjadi suam tika itu udang galah keluar mencari makan.
  5. Gangguan spt. Anak-anak ikan, dan sebagainya adalah cabaran dalam menahan kesabaran.
  6. Penggunaan sauh diperlukan jika ingin memancing ditengah sungai.
  7. Jika sungai kecil (hulu) tali boleh direntang didalam usaha mencari lubuk udang.
Peringatan
  1. Pertuturan harus dijaga.
  2. Elakkan membuang makanan spt. Daging dikawasan pancing udang.
  3. Mata dan telinga sentiasa berwaspada kerana kebiasaan lubuk udang dikongsi bersama oleh sang bedal.
  4. Sering memberi kerjasama sesama rakan-rakan.
  5. Mulakan sesuatu dengan Bismillah dan disudahi dengan Alhamdulillah.

"SELAMAT MEMANCING"
 DI PETIK DARI ATUR.TRIPOD